Sunday, June 27, 2010

Ghana bangga buat Afrika tersenyum

Ledakan Gyan pertahan maruah benua itu

RUSTENBURG: Ghana menghancurkan impian Amerika Syarikat (AS) dan menghadiahkan kegembiraan kepada Afrika awal pagi semalam apabila mengalahkan AS selepas masa tambahan dalam satu perlawanan yang mendebarkan untuk mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Dunia.

Wakil Afrika itu yang memikul harapan benua mereka berjaya menyahut cabaran dalam perlawanan penuh emosi itu dengan rasa bangga dan kesungguhan untuk menjadi negara Afrika ketiga pernah layak ke suku akhir kejohanan bola sepak terulung di dunia itu.

Gol oleh pemain tengah Kevin Prince Boateng hanya lima minit perlawanan berlangsung dan kemudian melalui penyerang Asamoah Gyan selepas tiga minit permainan memasuki masa tambahan, membolehkan Ghana mencatat kemenangan selepas Landon Donovan dengan tenang menyempurnakan penalti pada separuh masa kedua untuk AS yang bermain begitu bersemangat mengheret perlawanan ke masa tambahan.

“Saya adalah lelaki paling gembira di dunia,” kata Gyan. “Kami membuatkan semua orang bangga - bukan hanya Ghana, tetapi seluruh Afrika.”

Ghana yang menggabungkan semangat kental dan beberapa skil hebat, akan menentang Uruguay pada suku akhir di Stadium Soccer City, Johannesburg Jumaat ini selepas berjaya menyamai pencapaian Cameroon dan Senegal yang turut berjaya melangkah ke suku akhir Piala Dunia masing-masing pada 1990 dan 2002.

Pencapaian Ghana itu disambut meriah dengan tiupan vuvuzuela pada wisel penamat apabila pemain terbaring di atas padang sambil berasa teramat gembira dan lega.
Pemain Ghana, John Pantsil dengan bendera Ghana dan Samuel Inkoom bersama bendera Afrika Selatan kemudian berlari mengelilingi stadium di depan puluhan ribu penyokong termasuk bekas Presiden AS, Bill Clinton, Presiden FIFA, Sepp Blatter dan Ketua Jawatankuasa Penganjur Tempatan Afrika Selatan, Danny Jordaan sebagai meraikan kejayaan pada malam yang sangat diingati itu. - Reuters


No comments:

Post a Comment