Monday, June 28, 2010

Mansuh UPSR dan PMR: Pro dan Kontra

UPSR dan PMR Wajar Dimansuhkan

Kerajaan sedang bercadang untuk memansuhkan UPSR dan PMR kerana sistem pendidikan kini dilihat terlalu berorientasikan peperiksaan semata-mata. Ini menyebabkan tujuan utama menuntut ilmu secara kreatif, interaktif dan menimba pengetahuan secara holistik tidak tercapai sepenuhnya. Cara pembelajaran di Malaysia dikatakan lebih menjurus kepada usaha mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan awam.

Pelajar-pelajar berlumba-lumba untuk mendapatkan bilangan A yang banyak sehingga pernah suatu ketika Malaysia digemparkan dengan berita kematian S. Subashini dari SRJK Tamil Ladang Sempah. Subashini membunuh diri kerana memperoleh 4B, 2C dan 1D dalam UPSR sedangkan sasaran beliau ialah 4A. Jika ‘budaya banyak A’ menjadi fenomena pelajar-pelajar di Malaysia, tidak mustahil pelajar hanya cemerlang dari segi akademik dan tidak dinamik. Kerana inginkan publisiti, ada juga individu yang mendakwa mendapat 24A1 dalam SPM 2006 yang menggemparkan Malaysia kerana penipuan itu.

Ujian Khas Kemasukan ke SBP

Jika UPSR dan PMR dimansuhkan, ujian khas harus diwujudkan untuk kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, ujian itu tidak akan diwajibkan kepada semua pelajar, bahkan diadakan untuk mereka yang berminat memilih SBP bagi menyambung pelajaran di peringkat menengah.

UPSR dan PMR Tidak Wajar Dimansuhkan

Peperiksaan awam UPSR adalah sebagai kayu pengukur tahap pencapaian persekolahan bagi Tahun Enam manakala PMR adalah bagi tahun kesembilan persekolahan. Dengan adanya peperiksaan ini, kita sendiri dapat melihat sejauh mana pencapaian kita di sekolah rendah dan di peringkat menengah rendah. Jika UPSR dan PMR dimansuhkan, mungkin pelajar tidak bersungguh-sungguh dalam pelajaran dan hanya meletakkan usaha yang lebih untuk peperiksaan SPM sahaja.

Peperiksaan awam berkenaan juga adalah kayu pengukur untuk keberkesanan pembelajaran antara daerah dan negeri serta antara latar belakang sosio-ekonomi sekolah. Setiap tahun akan diumumkan statistik keputusan peperiksaan awam di Malaysia yang sedikit sebanyak mempengaruhi para pelajar, guru-guru, pegawai pendidikan dan pihak kementerian untuk meneliti di mana kelemahan dan kekurangan yang ada untuk diperbaiki.

Dasar pendidikan di Malaysia berubah-berubah mengikut perubahan Barisan Kabinet terutamanya penjawat portfolio Menteri Pelajaran. Seperti yang kita sendiri ketahui, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Timbalan Perdana Menteri. Jadi seharusnya dasar pendidikan yang berjangka panjang, konsisten dan berkesinambungan perlu digubal.

No comments:

Post a Comment